Thursday, February 26, 2009

AKU HIDUP DALAM JALANG


Jalangkah aku?
Merantai tumbuhan di sawah kontang
Mencatu air di perigi buta
"Menjalangkan" salakan anjing liar,
“Ah, salakan yang semakin sumbang”, kataku.

Memang jalangkah aku?
Menangguk air di musim kemarau
Lopak kutabur garam
Agar tak bisa tawar lagi
Kucurah air ke lopak yang masin
Ramai yang mula mengikutku
mereka tunduk kepala merayu
Kupinta usapkan kakiku
Mudahan dapat hadiah air ludahku yang tawar itu
Menggantikan air lopak yang kutabur garam.

Ya, aku memang suka hidup dalam jalang,
Mendesah rasa memuas nafsu
Mengarah ini mengarah itu
Yang kadang-kadang aku sendiri pun tidak tahu
Antara jalang dan tunjuk belang.

Alang-alang menyeluk pekasam
Biar baunya meresap ke dalam tulang
Alang-alang menjadi jalang
Tapi jangan sampai pecah tembelang.

S.I.J 26/02/2009

Wednesday, February 18, 2009

BUMI BERDARAH



Mengalir bendalir darah di teluk parah
mengerdipkan mata rambang muncul sejarah
menyaksikan perang di gelanggang tegang
satu perjuangan yang tak berkesudahan
antara pejuang kebebasan dan penghapus keganasan
“siapa ‘tah’ yang betul antara keduanya”?
Kedua-duanya dambakan kedamaian melalui kehancuran
menagih simpati dengan mati
mengikut hati pun dengan mati
ah...!!
Darah terus mengalir di teluk parah.

Hanyir pekat darah menusuk jiwa setiap insani
satu persatu rebah menyembah tanah
“akhirnya kembali juga ke tanah”?
Mengizinkan diri menemui tuhan
walaupun belum dijemput Ilahi
menghapus musuh berkecai sendiri
yang disasar derita yang berkuasa ketawa
menjadi alasan mencetus kerakusan
aduh!!
Takkan surut bah darah
di medan gagah melepas marah.

Berdoalah kita kepada Allah
semoga disejukkan jiwa raga
angkara manusia akibat sengketa
yang menjadikan dunia gelanggang Neraka
doakan sejahtera dunia akhirat
mudah-mudahan tergolong orang yang mulia
elakkan bumi berdarah
kerana bumi adalah tempat beribadah.


S.I.J Kuching.

LASYKAR HITAM



Lasykar Hitam,
Bahtera dosa menyusur
Mengocak tasik fikiran
Hadir layar bicara
Hembusan bayu ingkar
Menggetar gua naluri
Dari tebing hasutan.

Lasykar Hitam bergerak,
Menyusup ke setiap urat dan nadi
Dengan barisan tegar
Melebur rasa kasih
Ke acuan angkuh!

Lasykar Hitam mara,
Mencarik-carik jalan waras
Memungkar akal tauhid
Ke arah songsang sejadah.

Lasykar Hitam,
Mencemburui rasa insaf
Dengan cekal dendam
Menyogok khilaf
Kewujudan Adam.

Lasykar Hitam patuh,
Bisikan Azazil
Membawa durjana dosa
Hingga tempikan sangkakala!


S.I.J Kuching.

REZEKI SONGSANG



‘Four digit’, ‘four digit’;
setianya memberi khidmat
mencari untung menjual nasib
kononnya dapat mengubah hidup gundah
dengan modal hanya sedikit
mensasar segelintir yang terhimpit
ingin keluar dari hidup sempit
mengenyit mata meneropong digit.

‘Four digit’, ‘four digit’;
di tepi jalan dan persimpangan
tangan melambai mencari pelanggan
tak terlepas pandangan orang kenderaan
singgah ke tepi membeli ‘rezeki’
entah menjadi atau rugi
di atas sepotong kertas asyik memerhati.

‘Four digit’, ‘four digit’;
gagapnya dia berdiri sendiri
menjadi pembela nasib penjudi
menyuluh harapan yang tak bererti
nasib sendiri terus menyepi
nasib orang pula hendak diketahui!

‘Four digit’, ‘four digit’;
hidup perit menjerit-jerit!


S.I.J Kuching.